Ini
kerana, apabila anda sudah berniaga sambilan, anda akan mempunyai dua
tanggungjawab yang cukup besar iaitu satu terhadap majikan dan satu lagi
terhadap perniagaan yang anda ceburi.
Oleh
itu, sebelum bermula, fikir dahulu apakah perniagaan sambilan yang sesuai
dengan diri anda?
Pemilihan perniagaan yang bersesuaian sangat penting bagi
mengelakkan rasa terbeban melakukan dua bentuk pekerjaan yang berbeza dalam
satu masa di masa akan datang.
Beberapa
kriteria berikut boleh dijadikan garis panduan sebelum anda memulakan langkah
berniaga sambilan:
- Tidak mengganggu pekerjaan hakiki
Anda perlu memastikan bahawa perniagaan sambilan
yang anda bakal lakukan tidak mengabaikan tanggungjawab anda sebagai pekerja.
Anda perlu menyelesaikan segala tugasan yang diberi pada waktu bekerja sebelum
anda mula berniaga sambilan.
Jangan salah guna waktu bekerja untuk menjalankan
perniagaan sambilan di dalam pejabat. Ini bagi mengelakkan melanggar etika
kerja serta tanggapan negatif rakan-rakan sekerja dan juga majikan terhadap
diri anda.
Anda juga perlu menyemak kembali kontrak atau surat
perjanjian pekerjaan majikan anda kerana terdapat syarikat yang tidak
membenarkan pekerjanya menjalankan perniagaan secara sambilan sama ada di
pejabat atau di mana-mana jua. Bagi mengelakkan masalah di kemudian hari,
pastikan perniagaan sambilan anda tidak melanggar polisi syarikat tempat anda
bekerja.
Di samping itu, pastikan konsep perniagaan anda tiada
kena mengena dengan perniagaan majikan anda. Sebagai contoh, katakan anda
bekerja di syarikat yang mengeluar produk kecantikan. Dalam masa yang sama,
anda menjual produk kecantikan jenama pesaing secara sambilan. Ini akan
memberikan konflik di kemudian hari yang boleh mengakibatkan anda dikenakan
tindakan tata tertib.
- Tidak memerlukan masa yang banyak
Perniagaan sambilan yang diceburi itu tidak
memerlukan anda mengambil terlalu banyak masa untuk dilakukan. Boleh berniaga
dalam masa yang singkat sahaja. Maksimum paling tinggi empat jam dalam sehari.
Ini kerana anda sudah menghabiskan masa lebih kurang lapan jam sehari bekerja
di pejabat. Tambah lagi berniaga sambilan dengan menggunakan masa yang lama.
Apabila anda berniaga sambilan mengambil masa yang
terlalu lama dalam sehari, ia bukan sahaja boleh mendatangkan masalah kesihatan
di kemudian hari, bahkan boleh memberi kesan pada pekerjaan hakiki anda. Apabila
badan terasa letih, ‘mood’ bekerja akan jatuh kerana kehilangan tenaga. Anda boleh
jadi hilang fokus sekaligus dibimbangi boleh menjejaskan prestasi kerja hakiki.
Paling baik pilih masa berniaga sambilan di bawah
empat jam sehari atau perniagaan yang boleh dilakukan pada waktu rehat atau
hujung minggu sahaja iaitu Sabtu dan Ahad.
- Tidak memerlukan wang yang banyak untuk bermula
Modal kewangan yang diperlukan untuk anda mula
berniaga sambilan bergantung pada pemilihan jenis perniagaan. Jika perniagaan
itu memerlukan modal yang besar, maka besarlah modal kewangan yang perlu anda
sediakan. Begitu juga sebaliknya.
Seelok-eloknya pilih perniagaan yang bermodal kecil.
Dan elakkan diri dari meminjam wang untuk memulakan perniagaan sambilan. Lebih
elok kalau anda dapat kumpulkan duit gaji bulanan dari kerja hakiki sedikit
demi sedikit sehingga cukup untuk dijadikan modal permulaan berniaga sambilan
atau boleh saja menggunakan wang simpanan yang sedia ada.
Jika tiada modal atau wang simpanan, anda boleh memilih
perniagaan yang boleh dimulakan tanpa modal seperti menjadi ejen ‘dropship’, ‘broker’,
program rujukan ‘referral’ atau ‘affiliate’.
- Tidak memerlukan banyak kemahiran
Pilih perniagaan sambilan yang tidak memerlukan anda
menguasai terlalu banyak kemahiran untuk bermula. Hanya fokus pada dua asas
penting sahaja sudah memadai untuk menjana pendapatan iaitu kemahiran menjual
dan mendapatkan prospek bertukar menjadi pelanggan.
Sekiranya tiada kemahiran menjual dan mendapatkan
prospek, pilih perniagaan yang menyediakan sistem latihan yang komprehensif.
Lazimnya, pengeluar produk menyediakan sistem latihan untuk ejen-ejen yang
menjual produk mereka walaupun taraf ejen berkenaan hanya sebagai ejen dropship
tanpa modal sahaja.
- Tidak memerlukan banyak perkara nak diurus
Perniagaan sambilan yang dipilih haruslah senang
untuk dikendalikan kerana anda tidak mempunyai banyak masa untuk melakukannya.
Anda terpaksa membahagi masa antara komitmen kerja hakiki dan berniaga
sambilan.
Memadai memberi fokus terhadap penjualan produk atau
perkhidmatan sahaja. Tidak melibatkan penghantaran produk ke rumah pelanggan,
menguruskan stok produk yang banyak, mengutip hutang daripada pelanggan dan
sebagainya.
- Boleh dilakukan secara sambilan
Sudah semestinya kriteria perniagaan yang anda pilih
itu boleh dilakukan secara sambilan kerana tidak semua jenis perniagaan boleh
dimula atau dilakukan secara sambilan. Jika perniagaan itu memerlukan masa yang
banyak untuk dilakukan, Ia berkemungkinan tidak sesuai untuk anda.
- Boleh menjana pendapatan yang tinggi
Anda harus mencari sesuatu produk atau perkhidmatan
yang boleh menjana pulangan yang lumayan apabila dijual. Rasa berbaloi mendapat
keuntungan yang tinggi memandangkan anda telah melaburkan masa, tenaga dan juga
mungkin wang untuk mendapat pulangan tersebut.
Anda boleh buat analisis tentang perbandingan keuntungan
jualan satu-satu produk atau perkhidmatan. Katakanlah produk A dijual pada
harga RM300 seunit memberi untung runcit sebanyak RM50. Manakala produk B
dijual pada harga RM30 memberi keuntungan RM5 seunit.
Jadi, untuk mendapatkan keuntungan RM50, anda perlu
menjual 1 unit produk A, manakala produk B anda kena jual 10 unit baru boleh
dapat untung RM50. Nampak tak perbezaannya? Jadi, anda boleh pilih sama ada
hendak menjual produk yang memberi keuntungan besar atau untung kecil.
- Boleh dilakukan oleh orang lain
Perniagaan yang dipilih juga boleh dilakukan oleh
orang lain. Ia bertujuan untuk meringankan beban tugas atau untuk mengembangkan
perniagaan supaya boleh pergi lebih jauh dan boleh mencapai pendapatan yang
jauh lebih tinggi.
Anda boleh melantik pembantu di kalangan
saudara-mara, kawan-kawan atau kenalan untuk melayan pertanyaan atau tempahan
daripada pelanggan. Pada waktu anda bekerja, pembantu anda itu boleh tolong
melayan serta menjawab pertanyaan bakal pelanggan melalui WhatsApp, Telegram
dan Facebook.
Dengan demikian, anda tidak lagi berasa risau bahawa
pelanggan anda akan lari disebabkan lambat memberi maklum balas kepada
pelanggan. Dan tugas melayan pelanggan anda sambung pada waktu malam sahaja.
Selain pembantu, anda juga boleh merekruit atau
melantik ejen yang boleh memasar serta menjual produk yang anda jual kepada
pelanggan lain. Anda boleh turunkan ilmu kepada mereka supaya mereka juga
mempunyai ilmu serta kemahiran yang sama seperti anda. Perniagaan anda bukan
sahaja boleh berkembang melalui kaedah ini malah juga boleh meraih pendapatan
yang jauh lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment