MENGAPA PERLU BERNIAGA SAMBILAN?
PERSOALAN ini sangat penting untuk ditanya pada diri
sendiri. Jika ia tidak terlintas di fikiran anda, berkemungkinan besar perniagaan
sambilan yang anda lakukan tidak mencapai apa yang anda harapkan atau menemui
kegagalan di kemudian hari.
Anda kena tahu sebab apa anda perlu berniaga
sambilan? Dan penyebab itu mestilah kukuh. ‘Big Why’ anda kena kuat supaya dapat
dijadikan sebagai garis panduan untuk merealisasikan matlamat berniaga
sambilan. Bukan berniaga sambilan sekadar suka-suka sahaja tanpa hala tuju.
Berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang berniaga
sambilan dan dicampur dengan bahan-bahan temu bual penulis dengan beberapa individu
yang sukses berniaga sambilan memperlihatkan beberapa penyebabnya.
Ingin
Menambah Pendapatan
Situasi ekonomi hari ini telah menyebabkan ramai
orang mengalami tekanan akibat kenaikan kos sara hidup. Pendapatan bulanan yang
diperolehi hasil pekerjaan hakiki tidak cukup untuk menampung perbelanjaan
rumah tangga apatah lagi jika memiliki anak yang ramai.
Walaupun sudah lama bekerja, lebih lima hingga
sepuluh tahun, malah ada yang lebih, tetapi kehidupan masih lagi tidak berubah.
Simpanan untuk kecemasan tiada, rumah masih lagi menyewa kerana belum berkemampuan
untuk membeli rumah sendiri, anak-anak semakin membesar, sudah tentu memerlukan
dana yang besar untuk menampung kos pendidikan mereka.
Faktor ingin menambah pendapatan ini adalah biasa
bagi mereka yang menjalankan perniagaan secara sambilan tanpa berhenti
pekerjaan hakiki.
Ingin
Menyelesaikan Masalah Hutang
Ini juga merupakan antara faktor pendorong terkuat ataupun
‘Big Why’ bagi kebanyakan orang yang berniaga sambilan. Ya, apabila sudah
berhutang, menjadi tanggungjawab orang yang berhutang untuk menyelesaikan
segala hutang yang tertunggak.
Bagi yang baru bekerja, tentu hendak selesaikan
masalah hutang PTPTN. Ini menjadi isu besar dalam negara sehingga dimasukkan di
dalam manifesto pada kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018. Yang
cerdik akan mencari jalan bagaimana hendak selesaikan masalah hutang PTPTN
dengan berniaga sambilan.
Bagi yang sudah lama bekerja, sudah tentu lagi
banyak hutang berbanding mereka yang baru bekerja. Jadi, mereka ini berniaga
sambilan atas sebab hendak membayar hutang seperti pinjaman kenderaan, perumahan,
peribadi ataupun pinjaman perniagaan sama ada diperolehi melalui bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga
(TEKUN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan dana-dana lain.
Ingin
Menyimpan Wang
Ada setengah orang tidak berapa gemar berhutang untuk
mendapatkan sesuatu. Dia ada impian. Contoh hendak mengerjakan Haji atau Umrah
atau ingin melancong ke luar negara. Bagi merealisasikan impian berkenaan, dia
akan cuba menyimpan wang sebanyak yang mungkin.
Golongan ini kalau berhutang, dia akan cuba kurangkan
jumlah ataupun nilai pinjaman yang ingin dilakukannya. Sebagai contoh hendak
beli kereta idaman ataupun hendak beli rumah. Dia akan cuba menyimpan wang
untuk meningkatkan jumlah deposit supaya jumlah bayaran bulanan dapat
dikurangkan.
Sebagai
Back Up Plan
Matlamat berniaga sambilan juga boleh bertujuan
untuk membuat persiapan awal sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini di
masa akan datang khususnya yang melibatkan ancaman terhadap pekerjaan hakiki.
Sebagai contoh, mengambil kira keadaan ekonomi
semasa telah menyebabkan banyak syarikat terpaksa mengurangkan kos operasi
dengan memberhentikan pekerja senior. Sebagai langkah persiapan, buat ‘back up plan’
lebih awal agar bersiap sedia apabila betul-betul berlaku pemberhentian kerja.
Diberhentikan kerja tiada masalah disebabkan sudah
ada ‘back up’ perniagaan sambilan. Apabila sudah tidak bekerja, hanya perlu
lebihkan masa buat perniagaan sedia ada untuk mencapai pendapatan yang
diinginkan.
Plan
Bersara Awal
Berniaga sambilan juga boleh dijadikan sebagai
rancangan untuk bersara lebih awal. Dengan mengetahui potensi perniagaan yang dilakukan
boleh mendapat lebih dari apa yang dicapai dalam pekerjaan, dia menyusun
strategi bagi membolehkan matlamat bersara awal itu tercapai.
Ingin
Meningkatkan Kemahiran
Ada orang berniaga sambilan, bukan sekadar untuk mendapatkan
wang semata-mata tetapi dapat meningkatkan kemahiran. Orang begini mempunyai
cita-cita di kemudian hari untuk membuka perniagaan yang lebih besar termasuk
mencipta produk jenama sendiri.
Dia boleh dapatkan ilmu, kemahiran serta pengalaman
menjual dan menguruskan perniagaan apabila melibatkan diri dengan perniagaan
sambilan. Apabila sudah berjaya kumpul modal dan sudah ada keberanian serta
keyakinan yang tinggi, baru buat keputusan untuk membina perniagaan sendiri.
No comments:
Post a Comment